02/01/2023
PENULARAN PELBAGAI VARIAN DI MALAYSIA HASIL SURVELAN GENOM SARS-COV2
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak Februari 2022, lebih 98 peratus varian SARS-CoV-2 yang menular di dunia adalah jenis Omicron dan hasil mutasi terutama pada domain reseptor-pengikat (receptor binding domain-RBD) dalam kalangan VOC Omicron telah menghasilkan pelbagai jenis sub susur galur (sublineage). Terdapat beberapa susur galur dari Omicron yang mempunyai kepentingan kesihatan awam disebabkan kadar jangkitan yang lebih tinggi serta kadar immune escape yang lebih tinggi.
Oleh yang demikian, WHO di atas nasihat WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) telah mewujudkan terma ”Lineage Under Monoitoring” (LUM). Pada masa ini terdapat 5 sublineage Omicron yang telah dikelaskan sebagai LUM termasuk BA.5, BA.2.75, BA.4.6, XBB, dan BA.2.3.20. Semua jenis LUM tersebut sudah dikesan di Malaysia tetapi dalam peratusan yang berbeza.
Hasil survelan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia terkini iaitu sepanjang Disember 2022, menunjukkan dominasi varian XBB di Malaysia, iaitu varian ini merangkumi sebanyak 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan genom; diikuti dengan varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan varian BQ.1 (10.8 peratus). Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022. Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.
Data daripada negara-negara lain yang telah mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang 6 bulan lalu. Kejadian jangkitan semula adalah disebabkan kejadian immune escape yang lebih tinggi oleh XBB. Ini mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang sudah mula berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya golongan yang mempunyai masalah kesihatan mengambil dos penggalak kedua supaya sistem imun dapat bersedia untuk sebarang jangkitan semula.
Berdasarkan maklumat terkini, WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) berpendapat bahawa ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding dengan sublineage Omicron yang lain sebelum ini, dari segi keperluan tindakan kesihatan awam, walaupun terdapat penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape. Langkah-langkah kesihatan awam adalah masih sama seperti yang diambil untuk VOC-LUM sebelum ini.
Walaupun varian-varian SARS-CoV-2 ini boleh menyebabkan jangkitan semula, namun belum ada data yang menunjukkan ia mengakibatkan jangkitan serius sehingga menyebabkan kemudaratan atau kematian. Ini menunjukkan pemberian vaksin telah berhasil menyediakan sistem pertahanan imun untuk sebarang jangkitan varian-varian SARS-CoV-2 dan mengelakkan kemerosotan kesihatan.
Sementara itu, di negara China p**a, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara tersebut pada masa ini. Kedua-dua varian ini tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO. Walau bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China.
Kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 telah juga dikesan di Malaysia. Setakat 31 Disember, 2022 terdapat sebanyak 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga (3) kes yang dijangkiti dengan BF.7. Walau bagaimanapun, belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1.
Situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam. Perkara ini akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota WHO serta penduduk secara am.